Tuesday 18 October 2016

Bismillahirrahmanirrahim
Assalammualaikum dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah Allah izinkan untuk saya wujudkan blog sebarkan cinta ini. Alhamdulillah juga Allah gerakkan hati saya untuk saya serius menulis dan berkongsi di dalam blog ini. Semoga blog ini menjadi medan perkongsian, pembelajaran dan penyebaran ilmu kepada semua. Saya bukanlah orang yang pakar untuk bercakap tentang bidang ini, terutama perkaitan hal anak-anak. Terlalu sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada. Tetapi, minat yang mendalam, membaca dan berkongsi di samping implementasi ke atas dua orang anak-anak yang soleh solehah banyak membantu saya bagi lebih jelas lagi keperluan dan kefahaman ilmu ini.

Sebelum itu, saya perkenal diri saya dahulu. Nama saya Norasidah Bt Agman. Saya dilahirkan di Kuala Selangor atau lebih tepat lagi di Kampung Raja Musa. Saya telah dibesarkan dan dididik oleh nenek dan atuk. Sebab kami orang jawa, panggilan embah lebih mesra. Emak dan ayah mencari rezeki di Kuala Lumpur. Dengan keterbatasan keadaan ketika itu, saya tidak boleh dibawa bersama. Saya hanya dapat tinggal bersama emak dan ayah ketika berumur 9tahun, selepas sepenuhnya emak dan ayah pindah ke kampung.

Saya bersekolah di kampung dari tadika hingga tamat darjah 6. Kemudian saya ke Sam Seri Desa atau lebih dikenali kini Sam Tanjong Karang sehingga tingkatan 5. Kemudian saya meneruskan pengajian ke matrikulasi di Kolej Mara Seremban dalam jurusan Perakaunan. Tamat setahun kemudian, saya meneruskan pengajian di Universiti Utara Malaysia(UUM) di Sintok dalam bidang perguruan. Masih bersemangat di hati untuk teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Namun belum diizinkan lagi. InsyaAllah, Allah lebih Mengetahui.

Berkongsi tentang pengalaman bekerja, ianya bermula ketika selepas tamat peperiksaan SPM pada hujung Disember 2003. Tiga bulan menunggu keputusan, saya mengambil peluang dengan izin mak ayah, saya bekerja sebagai guru taska di Taska Mahkota Idaman, Puncak Alam. Subhanallah, pengalaman yang sangat menyeronokkan. Kemudian, selepas tamat matrikulasi iaitu May 2005, sambil menunggu menyambung pengajian ke universiti, saya bekerja lagi di taska yang sama. Yang lebih menarik saya juga berpeluang menjadi guru di Tadika Mahkota Idaman. Sesi pagi dari jam 7pagi hingga jam 1petang saya mengajar di tadika, sesi petang dari jam 2petang hingga jam 7malam pula saya di taska. Pengalaman di taska dan tadika ini juga sebenarnya pencetus minat dalam bidang kanak-kanak. Selepas tamat pengajian di universiti bermula December 2008, saya berpeluang mengajar di pusat komputer MWCOM, Tanjong Karang. Di sini, saya mengajar pelajar dewasa bermula usia 18tahun ke atas terutama pelajar lepasan SPM. Saya mengajar penggunaan Microsoft Office Word, Excel, Powerpoint dan asas penggunaan internet.

Sebenarnya pada waktu itu, saya sudah mula berjinak dengan blog, tetapi sekadar 'ada' dan tidak serius. Banyak juga sumber saya baca kelebihan dan kepentingan blog pada masa itu, tetapi tiada gerak hati dan keterbatasan capaian internet yang hanya di tempat kerja pada waktu itu. Maka, blog pda waktu itu terkubur sahaja. Lupa id, lupa pasword. Lupa semuanya.

Jika ingin bercerita pengalaman berniaga, sebenarnya sedari sekolah rendah saya telah mula berniaga. Embah akan sediakan jeruk kedondong dan saya jual di sekolah. Kebiasaannya, saya akan bawa ke sekolah agama waktu petang. Waktu sekolah pagi saya akan kumpulkan order dari kawan-kawan.

Hari ini saya pula menjual pelbagai buku-buku keibubapaan, buku-buku pengajaran untuk anak-anak, edu toys atau permainan yang berasaskan pembelajaran. Dengan tema sebarkan cinta, semua untuk Ibu bapa Dan anak-anak.

Saya sangat berminat dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Selain saya memang berminat dalam bidang pengajaran Dan pembelajaran. Saya juga suka mendalami bidang keibubapaan, psikologi dan sesekali saya suka bercucuk tanam. Sungguh tenang. Dari segi kemahiran atau kepakaran, saya menjurus dalam bidang pengajaran dan pendidikan.

Saya suka mengumpul, membaca buku-buku dan bahan dari sumber pendidikan awal kanak-kanak, keibubapaan, tingkahlaku, psikologi dan novel-novel thriller terutama novel karangan Ramli Awang Murshid.

Saya juga sebenarnya suka menulis. Dari sehari ke sehari idea hanya terluah di minda dan ianya hilang begitu sahaja. Sehinggalah saya kenal dengan team ABDR atau team Akademi Bekerja Dari Rumah memperkenalkan cara dan kaedah menulis di blog dengan cara yang betul dan efisien.

Akhir sekali, matlamat yang hendak saya capai. Matlamat jangka masa pendek, saya ingin terus berkongsi dan memberi pendedahan mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Menerangkan kepentingan membaca di awal usia, berkongsi kepentingan ilmu keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Saya juga akan terus berkongsi antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar anak-anak.  Matlamat jangka panjang, saya ingin membuka KidsandMama learning centre. Semoga tercapai. Ameen.

Salam mahabbah.


No comments:

Post a Comment