Friday 21 October 2016

Stifin





Setiap anak istimewa. Setiap anak ada kelebihan tersendiri. Setiap anak punyai potensi 
dan kekuatan diri. Bagaimana kita sebagai ibu bapa meraikan perbezaan dalam diri setiap anak-anak. Hari ini saya nak kongsi tentang stifin. Kenapa stifin? Dan apa kaitan stifin dengan kaedah mendidik anak. Apa pula kaitan stifin dalam meraikan perbezaan?

Stifin
Stifin merupakan singkatan bagi Sensing, Thinking, Intuiting, Feeling dan Instinct. Stifin menggunakan bahasa Mesin Kecerdasan(MK) bagi setiap potensi atau bakat individu.
Biasa Kita dengar atau lebih maklum belahan otak kanan dan belahan otak kiri. Namun stifin lebih jelas pecahannya. Thinking dan Sensing di belahan otak kiri. Manakala Intuiting dan Feeling di belahan otak kanan. Instinct pula otak tengah.
Selain itu, setiap Mesin Kecerdasan ini akan menunjukkan ciri lebih spesifik dengan dorongan introvert(i) atau ekstrovert(e).

Pengalaman dengan stifin
Yusuf merupakan MK Thinking(e). Individu dengan MK Thinking merupakan seorang yang berstruktur, logik dan tegas. Selain itu individu MK Thinking juga seorang yang suka kuasa atau memerintah.

Mama pula MK Feeling(e). Individu MK Feeling ini lebih menggunakan emosi atau cinta, punyai ciri pemimpin, pandai empati dan membuat pertimbangan berdasarkan kasih sayang/perasaan.

Dalam struktur stifin, Thinking dikuasai atau ditakluk oleh Feeling. Sebelum mama kenalpasti stifin yusuf dan mama, jujur mama akui Yusuf mudah diatur dan Yusuf mudah terima arahan atau pandangan mama. Corak pembelajaran Yusuf juga lebih menjurus kaedah yang boleh diterima oleh MK Thinking. Dalam banyak situasi, mama lebih banyak ambil peranan sebab Yusuf lebih mudah lembut dengan mama. Feeling Takluk Thinking di sini.

Yusuf sukakan penjelasan. Setiap penjelasan mesti logik pada pemikirannya. Setiap apa yang mama arahkan, terangkan atau setiap yang mama lakukan Yusuf minta penjelasan logik.

Antara art & craft dan mewarna, Yusuf menunjukkan kurang berminat dalam mewarna. Setelah mewarna seketika, dia akan berhenti dan cakap; "mama, stop ye Yusuf penat ni warna je" (padahal baru warna sikit.hehe).

Begitu juga sekiranya dia nak minta abi dukung . "abi, tolong angkat Yusuf. Yusuf dah penat ni. Kesian Yusuf. Yusuf kecik lagi".
Pandai kan.

Selalu berlaku Yusuf soal mama banyak kali sebab jawapan yang mama beri tak logik atau tak cukup logik pada dia. Contoh beberapa minggu lepas hari ahad. Situasi di rumah nenek. Mama abi cuti tetapi Abg Umar(sepupu) balik awal sebab Pak Ngah kerja. Banyak kali dia tanya kenapa Abg Umar balik. Mama dah jawab PakNgah kerja. Dia tak terima jawapan tu sebabMama abi tak kerja. Jadi mama perlu terangkan Pak Ngah perlu kerja hari ahad.

Untuk hafazan, mama masih belum gunakan sepenuhnya kaedah stifin. Mama masih fokus untuk ajar Yusuf boleh baca Quran. Untuk 5 surah yang Yusuf sudah hafal, mama gunakan kaedah audio dan ulangan.

Pada saya, stifin membantu ibu bapa dan  individu dalam meningkatkan potensi yang ada dalam diri masing-masing. Stifin ada menjelaskan MK mana yang lebih berketrampilan dalam bidang pengacaraan atau seni. Stifin juga menjelaskan MK mana yang sukakan belajar dalam keadaan tersusun. Dalam stifin teaching dan learning didedahkan kaedah yang meningkatkan mood belajar setiap MK. Dan juga bagaimana corak belajar atau cara mengajar setiap MK.

Begitu juga stifin parenting. Bagaimana ibu MK Thinking menangani anak MK Feeling. Bagaimana bapa MK Intuiting sedang anak MK thinking.
Pada saya ianya unik. Belum lagi dikaitkan dengan jenis darah individu iaitu bagaimana jenis darah mempengaruhi MK.
Sungguh! Ilmu Allah ini luas.

Norasidah Agman.
Mak Garang tapi Penyayang


Thursday 20 October 2016

Anak-anak membesar hanya sekali.
SEKALI!!

Anak-anak panggil, pandanglah, sahutlah panggilan mereka.
Anak-anak menangis, tenangkanlah.
Anak-anak gembira bermain, bersamalah bermain.
Anak-anak perlukan masa kamu, 

Anak-anak perlukan pandangan kamu,
Anak-anak perlukan senyuman kamu,
Anak-anak perlukan tepukan tanganmu,
Anak-anak perlukan pelukanmu,
Anak-anak perlukan sentuhan ajaibmu...


Tiada istilah anak-anak nakal. 

Jika itu yang kau letakkan atas bahu anakmu,
MUHASABAH lah kamu...

Bila kali terakhir anakmu tersenyum riang melihat tepukan tanganmu,

Bila kali terakhir anakmu memanggilmu, kau hanya menyahut ye ha ha ha main..main....,
Bila kali terakhir kau bergolek bermain dengan anakmu,
Bila kali terakhir kau memeluk erat anakmu,
Bila kali terakhir kau cium anakmu,


Ketahuilah olehmu,
Anak-anak akan mula buat sesuatu di luar jangkaanmu hanya untuk
Tarik perhatian kamu,

Panggil kamu,

SUPAYA
Kamu pandang, senyum, sahut dan respon..

Kamu seronok dengan apa yang mereka lakukan.


Ketahuilah kamu,
Anak-anak tidak kenal salah atau dosa.

Mereka suci.

Jangan sampai terlepas masa berharga mereka membesar hanya kerana egomu.
Jangan sampai Allah tarik nikmat depan mata baru kamu tersentak.
Jangan sampai anak-anak buat sesuatu yang berat di luar jangkauan baru kamu mencari solusi.
Jangan sampai anak-anak cari kasih sayang orang lain.
Jangan sampai anak-anak anggap kamu tiada lebih baik...
JANGAN.....
Kelak kamu menangis terlambat dan menyesal tiada guna.
HARGAILAH anak-anak mu.


Ikhlas, 

Mama yusuf dan maryam
#Kidsandmama

Wednesday 19 October 2016

Cheat!


Tajuk 'short story' tingkatan 2. Cerita berkaitan Geoff Bolder memenangi pertandingan menulis cerita pendek dengan cerita yang ditulis hampir sama dengan cerita penulis terkebal William Bradburie. Justeru rakannya Lynne Webbing yang mendapat tempat kedua syak Geoff menipu.
........................................................................................................................................

Selepas menerangkan dan menerapkan nilai berkata benar lebih baik, berusaha sendiri, menerima setiap kekalahan dengan hati terbuka, saya mengajak pelajar yang berani untuk berterus terang siapa yang pernah menipu.

Saya mohon mereka jelaskan dengan terbuka bentuk penipuan, siapa yang mereka tipu, mengapa mereka tipu, kesan dari menipu.

Pelajar 1.
Pelajar lelaki ini mengaku menipu ibu beliau. Beliau maklumkan kepada ibu beliau berpuasa tetapi sebenarnya tidak. Beliau berpura-pura seolah berpuasa, dan adik beliau juga lelaki mengetahui dan ikut serta tidak berpuasa.
Ibu dapat tahu beliau dan adik tidak berpuasa.
Bila ditanya tentang respon ibu, beliau maklumkan ibu marah dan bising.
"Bagaimana dengan perasaan kamu setelah menipu dan meninggalkan puasa?" Soal saya.
"Entah biasa je".
Saya tanya juga, bagaimana dengan solat kamu?
Beiau jawab dengan sengih dan ketawa kecil.

Pelajar 2.
Seorang pelajar perempuan. Beliau mengaku menipu ibu untuk ke rumah kawan. Beliau beritahu ibu hendak tidur di rumah kawan kerana hendak menghadiri kenduri kahwin. Hakikatnya tiada kenduri kahwin, malah mereka keluar shopping bersama keluarga kecil kakak kawannya.
" macam mana ibu boleh tahu kamu menipu?"
"Entahlah cikgu. Saya balik mak dah marah-marah. Ada spy kot."
"Apa perasaan awak ketika berjalan shopping?"
"Biasa. Eh. Eh. Sedih ingat mak. Ehh biasa je"
"Tapi saya yakin sebenarnya awak rasa bersalah ketika shopping"
"Err.. Err sikitla.." Ujarnya

Pelajar 3.
Beliau maklumkan yang beliau juga menipu ibunya. Beliau menipu pergi ke sekolah tetapi sebenarnya tidak. Beliau tidur dan duduk di rumah.
"Ibu kerja ke, ibu balik jam berapa?" Tanya saya.
"Aah. Ibu keja. Ibu balik kul 5."
"Jadi takkan ibu tak perasan kamu di rumah masa dia balik?" Tanya saya lagi.
"Mula-mula tak perasan. Saya diam-diam je dalam bilik. Tapi ntah tetiba je ibu masuk bilik saya. Masa tu saya tengah tido.".
" ibu macam mana? Tak marah?"
"Marah. Ibu rotan sikit kat kaki. Pastu bebel-bebel". Ujarnya

Kemudian setelah bersoal jawab, saya tekankan kepada semua,

"Tidak kira siapa kamu, apa bangsa kamu, di mana kelahiran kamu, ingatlah ibu darjatnya tinggi. Ibu ni special. Istimewa. Dia ada sixth sense. Dia boleh rasa. Dia tak perlu spy untuk tahu kamu menipu dia. Dia rasa sendiri. Tu istimewanya ibu-ibu kamu. Hormat ibu. Saya taknak kamu ulangi lagi menipu ibu kamu. Ibu kamu sangat sayangkan kamu semua hingga percaya kepada kamu. Jadi pulangkanlah kepercayaan ibu kamu dengan jadi anak yang baik.

Kamu (sebut nama pelajar lelaki). Kamu bakal pemimpin. Jangan tinggal solat. Jangan tinggal puasa. Itu semua rukun islam. Rukun wajib kamu buat. Tak buat berdosa.

“Kamu (sebut nama dua pelajar perempuan) dan pelajar perempuan lain. Menipu bukan cara yang baik untuk rasa seronok. Punca menipu boleh buat kamu hilang kehormatan. Jaga diri kamu. Jaga kehormatan kamu."

P/s: Semoga mereka membesar menjadi pejuang dan pemimpin yang hebat dengan penerapan nilai-nilai murni dalam diri mereka.

Norasidah agman
Teacher berkaca mata


Tuesday 18 October 2016

Bismillahirrahmanirrahim
Assalammualaikum dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah Allah izinkan untuk saya wujudkan blog sebarkan cinta ini. Alhamdulillah juga Allah gerakkan hati saya untuk saya serius menulis dan berkongsi di dalam blog ini. Semoga blog ini menjadi medan perkongsian, pembelajaran dan penyebaran ilmu kepada semua. Saya bukanlah orang yang pakar untuk bercakap tentang bidang ini, terutama perkaitan hal anak-anak. Terlalu sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada. Tetapi, minat yang mendalam, membaca dan berkongsi di samping implementasi ke atas dua orang anak-anak yang soleh solehah banyak membantu saya bagi lebih jelas lagi keperluan dan kefahaman ilmu ini.

Sebelum itu, saya perkenal diri saya dahulu. Nama saya Norasidah Bt Agman. Saya dilahirkan di Kuala Selangor atau lebih tepat lagi di Kampung Raja Musa. Saya telah dibesarkan dan dididik oleh nenek dan atuk. Sebab kami orang jawa, panggilan embah lebih mesra. Emak dan ayah mencari rezeki di Kuala Lumpur. Dengan keterbatasan keadaan ketika itu, saya tidak boleh dibawa bersama. Saya hanya dapat tinggal bersama emak dan ayah ketika berumur 9tahun, selepas sepenuhnya emak dan ayah pindah ke kampung.

Saya bersekolah di kampung dari tadika hingga tamat darjah 6. Kemudian saya ke Sam Seri Desa atau lebih dikenali kini Sam Tanjong Karang sehingga tingkatan 5. Kemudian saya meneruskan pengajian ke matrikulasi di Kolej Mara Seremban dalam jurusan Perakaunan. Tamat setahun kemudian, saya meneruskan pengajian di Universiti Utara Malaysia(UUM) di Sintok dalam bidang perguruan. Masih bersemangat di hati untuk teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Namun belum diizinkan lagi. InsyaAllah, Allah lebih Mengetahui.

Berkongsi tentang pengalaman bekerja, ianya bermula ketika selepas tamat peperiksaan SPM pada hujung Disember 2003. Tiga bulan menunggu keputusan, saya mengambil peluang dengan izin mak ayah, saya bekerja sebagai guru taska di Taska Mahkota Idaman, Puncak Alam. Subhanallah, pengalaman yang sangat menyeronokkan. Kemudian, selepas tamat matrikulasi iaitu May 2005, sambil menunggu menyambung pengajian ke universiti, saya bekerja lagi di taska yang sama. Yang lebih menarik saya juga berpeluang menjadi guru di Tadika Mahkota Idaman. Sesi pagi dari jam 7pagi hingga jam 1petang saya mengajar di tadika, sesi petang dari jam 2petang hingga jam 7malam pula saya di taska. Pengalaman di taska dan tadika ini juga sebenarnya pencetus minat dalam bidang kanak-kanak. Selepas tamat pengajian di universiti bermula December 2008, saya berpeluang mengajar di pusat komputer MWCOM, Tanjong Karang. Di sini, saya mengajar pelajar dewasa bermula usia 18tahun ke atas terutama pelajar lepasan SPM. Saya mengajar penggunaan Microsoft Office Word, Excel, Powerpoint dan asas penggunaan internet.

Sebenarnya pada waktu itu, saya sudah mula berjinak dengan blog, tetapi sekadar 'ada' dan tidak serius. Banyak juga sumber saya baca kelebihan dan kepentingan blog pada masa itu, tetapi tiada gerak hati dan keterbatasan capaian internet yang hanya di tempat kerja pada waktu itu. Maka, blog pda waktu itu terkubur sahaja. Lupa id, lupa pasword. Lupa semuanya.

Jika ingin bercerita pengalaman berniaga, sebenarnya sedari sekolah rendah saya telah mula berniaga. Embah akan sediakan jeruk kedondong dan saya jual di sekolah. Kebiasaannya, saya akan bawa ke sekolah agama waktu petang. Waktu sekolah pagi saya akan kumpulkan order dari kawan-kawan.

Hari ini saya pula menjual pelbagai buku-buku keibubapaan, buku-buku pengajaran untuk anak-anak, edu toys atau permainan yang berasaskan pembelajaran. Dengan tema sebarkan cinta, semua untuk Ibu bapa Dan anak-anak.

Saya sangat berminat dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Selain saya memang berminat dalam bidang pengajaran Dan pembelajaran. Saya juga suka mendalami bidang keibubapaan, psikologi dan sesekali saya suka bercucuk tanam. Sungguh tenang. Dari segi kemahiran atau kepakaran, saya menjurus dalam bidang pengajaran dan pendidikan.

Saya suka mengumpul, membaca buku-buku dan bahan dari sumber pendidikan awal kanak-kanak, keibubapaan, tingkahlaku, psikologi dan novel-novel thriller terutama novel karangan Ramli Awang Murshid.

Saya juga sebenarnya suka menulis. Dari sehari ke sehari idea hanya terluah di minda dan ianya hilang begitu sahaja. Sehinggalah saya kenal dengan team ABDR atau team Akademi Bekerja Dari Rumah memperkenalkan cara dan kaedah menulis di blog dengan cara yang betul dan efisien.

Akhir sekali, matlamat yang hendak saya capai. Matlamat jangka masa pendek, saya ingin terus berkongsi dan memberi pendedahan mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Menerangkan kepentingan membaca di awal usia, berkongsi kepentingan ilmu keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Saya juga akan terus berkongsi antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar anak-anak.  Matlamat jangka panjang, saya ingin membuka KidsandMama learning centre. Semoga tercapai. Ameen.

Salam mahabbah.